Kerajaan negeri memberi jaminan status tanah rizab melayu dan tanah milik penduduk kampung berhampiran projek Forest City di Selat Johor tidak akan terjejas.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, nasib nelayan di kawasan perairan itu juga akan dibela menerusi tabung khas yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.
“Johor memerlukan pembangunan namun kita akui wujud kebimbangan di kalangan penduduk setempat khususnya membabitkan tanah rizab melayu kerana mereka khuatir ia akan diambil untuk memajukan kawasan berkenaan.”
“Kita ingin memaklumkan projek Forest City ini hanya membabitkan tambakan laut dan tidak daratan. Pendekatan ini turut dilakukan negara lain seperti Australia dan Singapura,”katanya.
Ayub berkata demikian kepada media sempena perasmian Majlis Perujian Tilawah al-Quran dan Hafazan Serta Pertandingan Berzanji dan Marhaban Agensi Anti Dadah Kebangsaan hari ini. -SUMBER