Batu Pahat: Hujan lebat lebih sejam menyebabkan beberapa kawasan rendah di daerah ini dilanda banjir kilat, semalam.
Air melimpah berikutan hujan sejak jam 5 pagi, turut menjejaskan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim (SMKPTI) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang.
Tinjauan mendapati beberapa premis kerajaan termasuk bangunan Mahkamah Batu Pahat dinaiki air dan beberapa jalan ditenggelami.
Berikutan banjir kilat itu, kesesakan teruk dilaporkan di laluan utama termasuk Jalan Pejabat, Masjid dan Kenangan.
Air beransur surut mulai jam 7 pagi.
Suri rumah, Fatimah Salim, 53, berkata air melimpah masuk ke rumahnya di Jalan Kenangan sejam selepas hujan lebat, yang menyebabkannya bersama keluarga mengalihkan kelengkapan rumah ke tempat tinggi.
Kami sempat mengalihkan perabot dan kelengkapan rumah ke tempat tinggi bagi mengelak terkena air. Bagaimanapun, beberapa peralatan elektrik dan perabot tidak sempat diselamatkan, katanya.
Sementara itu, Pengetua SMKPTI, Remi Kardi, berkata pelbagai peralatan sekolah yang terletak di tingkat bawah bangunan termasuk bilik guru dan makmal rosak akibat ditenggelami air.
Bawa pulang anak
Ada ibu bapa diminta membawa pulang anak mereka selepas keadaan tidak mengizinkan untuk kita meneruskan sesi pembelajaran kecuali pelajar Tingkatan Tiga yang perlu menduduki Ujian Lisan dan Pendengaran PT3 yang bermula jam 8 pagi, katanya.
Di Segamat, semua 350 mangsa ribut di daerah ini akan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membaik pulih rumah yang rosak dalam kejadian ribut, Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Don, berkata kejadian itu menyebabkan kerugian RM400,000.
Katanya, mangsa akan menerima bantuan awal daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) antara RM2,500 hingga RM5,000, dalam tempoh terdekat.
Bantuan kos sebenar proses kerja membaik pulih rumah hanya akan diberikan oleh JKM selepas mangsa mengemukakan laporan dan dokumen berkaitan, katanya selepas menghadiri taklimat dan melawat mangsa bencana ribut, di sini semalam. -BH